Wednesday, August 24, 2005

kerja kosong..

Kepada sesiapa yang berminat untuk menjawat jawatan ini sila baca artikel di bawah;

Jawatan : Angkasawan


Angkasawan pertama Malaysia dijadual berlepas ke angkasa lepas pada Oktober 2007.

Angkasawan itu akan berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang terletak 402.34 kilometer dari permukaan bumi di antara enam hingga lapan hari.

program ini dibuka kepada orang ramai pada 13 Oktober sehingga tarikh tutup 31 Disember 2003, sebanyak 11,275 permohonan diterima.

Proses pencarian calon akan bermula Sabtu ini di Kuantan, Pahang, melalui ujian larian sejauh 3.5 kilometer yang perlu dihabiskan dalam tempoh 20 minit.

Mereka yang layak seterusnya akan menjalani pemeriksaan perubatan am serta penerbangan dan profil fisiologi yang mengambil masa 14 hari.

Lima hingga 10 calon yang disenarai pendek kemudiannya akan dihantar menjalani pemeriksaan dan latihan terperinci seperti yang disyaratkan Agensi Angkasa Rusia selama dua hingga tiga minggu.

Daripada jumlah ini, mereka seterusnya akan melalui saringan terakhir oleh agensi berkenaan di Rusia.

Kita kemudiannya akan memilih dua calon, salah seorang sebagai simpanan untuk menjalani latihan di Pusat Latihan Angkasawan Gagarin, Star City, Rusia selama 18 bulan bermula Januari tahun depan,

rakyat Malaysia yang terpilih itu merupakan individu yang benar-benar layak dan lulus kesemua ujian yang diadakan termasuk di dalam dan luar negara.

sebanyak 894 calon termasuk rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara akan terlibat dalam larian sejauh 3.5 kilometer itu yang mengehendaki mereka menamatkannya dalam tempoh 20 minit.

Ia akan dilancarkan pada 27 Ogos ini di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan, Pahang oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diikuti lima lokasi lain pada 3 September depan.

Lima lokasi tersebut adalah Kem Mahkota Kluang, Johor; Kem Penrissen, Kuching, Sarawak; Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah; Pangkalan TUDM, Butterworth, Pulau Pinang dan Pangkalan TUDM, Subang, Selangor.

Menurut Mazlan, sebanyak 62 calon terlibat dalam Larian Angkasawan di Kuantan yang turut disertai kira-kira 1,000 pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi, anggota tentera dan polis.

Beliau berkata, 28 lagi calon di Kuching, Kota Kinabalu (38); Butterworth (130); Subang (568) dan Kluang (59).

Beliau berkata, kos penghantaran seorang angkasawan dari peringkat awal sehingga sampai ke angkasa lepas melibatkan jumlah di antara RM76 hingga RM95 juta.

Program yang menelan belanja kira-kira RM95 juta merupakan sebahagian program mengimbangi pemerolehan 18 Sukhoi SU-30 MKM, pesawat udara pelbagai guna bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Rusia akan melaksanakan pemindahan teknologi dan program ofset (perseimbangan) bernilai RM1.026 bilion, membabitkan kira-kira 30 peratus nilai kontrak.

Dalam perjanjian pembelian timbal balas itu, Rusia akan membeli minyak sawit Malaysia bernilai RM1 bilion dan baki bayaran pesawat itu akan dibayar secara tunai oleh Malaysia.

Di bawah program ini angkasawan Malaysia tidak akan semata-mata berperanan sebagai `penumpang' pada misi angkasa lepas malah turut menjalankan eksperimen saintifik di ISS.

Pada asalnya, program penghantaran angkasawan pertama negara ke angkasa lepas dijadualkan pada tahun ini, tetapi terpaksa ditangguhkan.

Ia ekoran Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat melakukan siasatan terhadap pesawat angkasa lepas, Columbia yang meletup dan mengorbankan semua tujuh anak kapalnya dua tahun lalu.

(Utusan Malaysia 24 ogos 2005)

No comments: